Aidil Adha Dan Ibadah Qurban

Categories: Ust Rusydi Ramli

Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Qurban

Aidil bermaksud hari raya, perayaan atau kembali dan ada juga mentakrifkan ia sebagai hari kemenangan, menurut  firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 114

Isa Ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada Kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, Iaitu bagi Kami Yang ada hari ini dan bagi orang-orang Kami Yang datang Kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi rezeki”.

Ayat di atas dinukilkan oleh Allah SWT atas doa Nabi Isa a.s yang meminta kepada Allah SWT untuk menurunkan hidangan dari langit kepada Bani Israil sebagai hari raya.

Adha pula bermakna “pengorbanan”  yang berasal daripada kalimah “Udhiyah”. Qurban pula hakikatnya berasal daripada kalimah “Qaribun” yang bermaksud “hampir”.  Adha atau Qurban mempunyai kesinambungan yang menarik kerana menunjukkan ia adalah satu ibadah yang menuntut kepada pengorbanan sama ada wang ringgit,  mahupun jiwa raga, juga pengorbanan ini adalah satu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sejarah Qurban bermula daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam melaksanakan perintah Allah dengan menyembelih anaknya Nabi ismail a.s. Setelah mana Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar ditinggalkan di tanah yang kering kontang, di sinilah bermulanya pengorbanan Nabi Ibrahim melaksanaka perintah Allah SWT. Anak dan isteri ditinggal berdua-duan, sepatutnya bagindalah yang menjaga dan melindungi mereka sebagai seorang suami dan juga ayah. Namun, kerana perkara tersebut mempunyai hikmah yang besar dan ia dilakukan oleh Nabi Ibrahim bukan kerana kehendaknya, dia gagahi jua.

Hiduplah Siti Hajar dan Nabi Ismail berdua di lembah yang tandus tanpa bekalan makanan dan minuman. Siti Hajar berusaha mencari air untuk anaknya Nabi Ismail yang kehausan, dan inilah pengorbanan Siti Hajar sehingga diabadikan di dalam ibadah Saie sehingga hari ini.

Pengorbanan Nabi Ibrahim berterusan, bilamana Allah SWT memerintahkan baginda untuk menyembelih anak kesayangannya yang baru ditemui semula, setelah mana ditinggalkan sekian lama. Perintah Allah perlu dilaksanakan walau terpaksa mengorbankan perasaannya. Pisau diletakkan dileher anak kesayangannya namun tidak memberi kesan lalu ia menekan lagi kerana perintah Allah yang perlu dilaksankan. Kuasa Allah mengatasi segala, segala perintah kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta Siti Hajar adalah ujian ketaatan mereka dan iktibar kepada semua umat manusia.

Apa yang istimewanya peristiwa ini yang ingin dikongsi bersama ialah Qurban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim adalah rentetan dan kesinambungan qurban yang telah dilakukan oleh anak Nabi Adam a.s. Menurut sirah, bilamana berlaku perebutan dikalangan anak Nabi Adam a.s iaitu Qabil dan Habil yang berebutkan adik perempuan mereka yang bernama Iqlima yang cantik. Untuk memutuskan perkara ini Nabi Adam a.s mengarahkan kedua-dua anaknya melakukan qurban, demi membuktikan siapa di kalangan mereka yang benar. Qabil seorang petani, dia mengorbankan sayur-sayurannya yang sudah rosak sebagai korban, berbeza Habil seorang penternak, mengorbankan kambingnya yang paling sihat, gemok dan bersih sebagai qurban. Akhirnya Allah mengutuskan api dari langit menyambar kambing yang diqurbankan oleh Habil sebagai isyarat bahawa dia berada di sandaran yang benar. Uniknya, setelah beribu generasi dan tahun kambing yang ditukarkan dengan Nabi Ismail a.s dalam peristiwa penyembelih ini adalah kambing yang telah diqurbankan oleh Habil anak Nabi Adam a.s.

Bersambung…

Komen / Pendapat

comments

rusydi
Author: rusydi

Aktif menyampaikan ceramah agama, motivasi dan mengajar Bahasa Arab di masjid-masjid serta pejabat kerajaan.

Leave a Reply